Wednesday, December 16, 2009

SALAM MA'AL HIJRAH 1431

Salam Ma'al Hijrah 1431 diucapkan kepada Seluruh Umat Islam di Malaysia khususnya dan Seantaro Dunia Islam amnya. Semoga Ma'al Hijrah 1430 memberi kenangan yang amat manis kepada setiap individu umat Islam di seluruh dunia dari aspek Ketakwaan Kepada Allah dan rasulNYA serta semoga Ma'al Hijrah yang mendatang dapat kita pertingkatkan lagi amalan-amalan yang tak dapat dipenuhi pada Ma'al Hijrah 1430.Didoakan semoga kita semua dirahmati ALLAH untuk tahun-tahun yang mendatang......Amiiin!!!





Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

MAKSUD AL-QURAN
HIJRAH RASULULLAH S.A.W
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (AT-TAUBAH: 40)
(Dipetik dari http://ummatanwasatan.net/)

Sunday, December 6, 2009

Keinginan Rentap Untuk Merdeka

RENTAP
Suatu nama yang tidak begitu asing bagi rakyat negeri Sarawak amnya dan penduduk Bahagian Sri Aman khususnya.Perjuangan beliau adalah perjuangan seorang anak watan yang inginkan kebebasan atau dengan kata lain inginkan kemerdekaan hakiki agar Sarawak diperintah dan ditakbir oleh  darah daging anak bumi kenyalang sendiri.
Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke.

(Contoh Video Pahlawan Iban)

Links- http://www.youtube.com/watch?v=the79iI93VA


 Penentangan Rentap

Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan British di Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Rentap adalah seorang panglima perang orang Iban yang tinggal di ulu Sungai Sekrang. Rentap yang menjadi ketua orang Iban telah menentang pemerintahan Brooke kerana Brooke merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan.

Brooke turut juga mengganggu cara hidup tradisional orang Iban yang mengamalkan kegiatan memotong kepala dengan beberapa pembaharuan. Justeru itu pada tahun 1853, Rentap bersama pasukannya menyerang kubu-kubu di Sungai Skrang. Pihak British telah diserang hendap oleh orang-orang Rentap. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. akibat pertempuran itu seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Sekrang.

Dalam pertempuran itu pihak British berundur ke pangkalan Merak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya. Walau bagaimanapun pengikut Brooke telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman Rentap. Dengan itu Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di sungai Lang iaitu di ulu Sungai Skrang. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap dan ia dengan sebilangan pengikut berundur dan membina kubu di sebuah bukit bernama Bukit Sadok. Mulai dari tahun 1875, kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap. Namun pada tahun 1861 barulah mereka berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam.

Kubu-kubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke pada 20 oktober 1861. Rentap kemudian berundur ke Ulu Entabai. Kemudian Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya.

(Rujukan/Links- http://ms.wikipedia.org/wiki/Rentap)

Wednesday, November 11, 2009

Falsafah Keris

Keris

(Contoh Video Tentang Keris)

(Links-http://www.youtube.com/watch?v=cipAR6Nh3D4)

Semua kita mengenali apakah ianya 'Keris'?
Namun bukan semua kita yang memahami falsafah wujudnya senjata keramat tersebut yang merupakan senjata kepahlawanan 'Anak Melayu Lima Sahabat' zaman Kesultanan Melaka dan mungkin tidak harus kita ketepikan kepahlawanan 'Rosli Dhoby', 'Tok Bahaman','Tok Janggut','Datuk Maharaja Lela', dan siapa jua yang telah menjulang tinggi keris digenggaman tangan dan terdetiknya kata keramat dibenak,

'Akan Kutumpahkan Darah Merah Yang Mengalir di Seluruh Tubuhku dan Kutumpahkan Darah Merahku ke Dada Tanah Tumpah Darahku Demi Kemerdekaan Anak Cucuku.'

Mungkin kita sudah lupa sumpah keramat 'Hang Tuah',

'Tidak Akan Hilang Melayu Didunia.'


(Rujukan youtube-http://www.youtube.com/watch?v=4N0rNWkYkXM&feature=player_embedded)

Keris adalah senjata yang menjadi lambang ketuanan Melayu dan lambang pembebasan tanah tumpah darah tercinta ini.Falsafah wujudnya sudah terlaksana namun kini ia hanya jadi lambang simbolik anak merdeka di kala persandingan raja sehari.

'Haruskan Demikian Riwayat 'KERIS'?

Tuesday, November 3, 2009

ADAKAH MEREKA YANG TERLIBAT DI DALAM PERARAKAN KERANDA PADA BULAN MAC 2009 ITU PEJUANG MERDEKA BAHASA MELAYU?



Perarakan Keranda Mac 2009 merupakan perarakan aktivis bahasa dan rakyat Malaysia yang antara lain mahu Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.



Perarakan ini, yang disertai oleh lebih 8,000 orang, bermula pada pukul 2 petang pada 7 Mac 2009 menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.[1] Perarakan ini dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan disertai oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad serta barisan pemimpin politik seperti Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.



Perarakan ini menyerupai matlamat perarakan Keranda 152 yang diadakan pada tahun 1967. Perarakan ini diadakan kerana mahu mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Kejayaan demi kejayaan yang dicapaikan oleh Bahasa Melayu dimusnahkan oleh dasar PPSMI yang dianjurkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 dan dilaksanakan pada 2003. Menteri Pelajaran yang ditugaskan menjayakan PPSMI ialah Datuk Musa Mohamad dan Datuk Hishamuddin Tun Hussein.
(Rujukan/links-http://ms.wikipedia.org/wiki/Keranda_152)

Rosli Dhoby Itu Siapa? Pembunuh Atau Perjuang Kemerdekaan?

Biodata

Rosli Dhoby
Lahir 1932
Kampung Pulo, Sibu, Sarawak
Meninggal 2 Mac 1950
Kuching, Sarawak


Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau.

Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.Faktor yang menyebabkan beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibu beliau kerana ibu beliau telah diugut akan ditembak. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Februari 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis di Sarawak berakhir secara mendadak.


Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara.Ini kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Kolonial yang telah tamat secara mendadak selepas kematian mereka berempat.




Setelah 46 tahun bersemadi di Tanah Perkuburan Penjara Kuching, Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak,berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.Ketika itulah,Keempat-empat buah keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka diselimuti dengan bendera negeri Sarawak,sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.
(Rujukan/links-http://ms.wikipedia.org/wiki/Rosli_Dhoby)

Sunday, November 1, 2009

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
ITULAH LAUNGAN KERAMAT BAPA KEMRDEKAAN KITA



TUANKU ABDUL RAHMAN PUTERA AL-HAJ.
Pemasyhuran Kemerdekaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.



Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.